Buaya gergasi ditangkap di Kinabatangan
SEEKOR buaya sepanjang 5.2 meter telah ditangkap di Kinabatangan baru-baru ini.
Bagaimanapun, buaya gergasi itu ditangkap bukan kerana ia telah membaham manusia sebaliknya ia ditangkap untuk dipasangkan ‘tag” satelit bagi tujuan penyelidikan.
Membabitkan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Danau Girang field Centre (DGFC), buaya air masin itu mereka beri nama Siganas.
Pembiayaan bagi projek itu disediakan oleh Chester Zoo dan DGFC.
“Ini adalah pemasangan tag satelit ketiga yang berjaya ke atas buaya jantan di Kinabatangan.
“Kerja-kerja itu membabitkan kakitangan DGFC dan Unit Penyelamatan Hidupan Liar,” jelas Dr Laurentius Ambu, Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Kami sedikit kurang bernasib baik kerana dua buaya jantan tag satelit yang dipasang pada Jun 2011 dan Januari 2012 hanya bertahan selama dua bulan.
“Kami berharap unit ini (yang dipasang pada leher Siganas) akan dapat bertahan lebih lama dan akan memberikan data penting mengenai pergerakan mereka,” tambah Ambu.
“Kami memerlukan lebih 10 lelaki untuk menarik buaya itu keluar dari perangkap dan membawanya ke pantai untuk membolehkan kami mengukurnya dan memasang satelit pada lehernya,” jelas Mark Rampangajouw, Pengurus Lapangan DGFC, yang mengetuai operasi itu.
“Kami bercadang untuk memasang tag pada leher beberapa ekor lagi (jantan dan betina) di Kinabatangan, sebelum berpindah ke sungai-sungai lain di Sabah,” jelas Dr Benoit Goossens, Pengarah DGFC dan ketua Program Buaya Kinabatangan.
“Dalam masa tiga hari, Siganas sudah bergerak 5 km menjauhi DGFC. Nampaknya, ia haiwan yang sering berpindah.
“Kami pernah menemui beberapa buaya besar di sekitar DGFC dan persaingan sesama mereka sangat tinggi,” kata Goossens.
5.2 meter! |
CHEERS! Semua yang terbabit dalam operasi itu mengabadikan gambar bersama Siganas. |
SIGANAS kembali ke laut dengan selamat setelah dilepaskan . |