Dikuasakan oleh Blogger.

Oscar langkah kanan


Penyokong Chelsea tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan kehebatan Oscar sebaik pengumuman ketibaannya ke kelab itu, apabila pemain berusia 21 tahun itu bertanding di Sukan Olimpik London, malah ia bukan cerita yang diada-adakan apabila berpeluang menyaksikannya di depan mata sendiri.


Oscar menggalas tugas penting bagi membolehkan Brazil mara ke final pertandingan itu, sebagai pembantu dan penjaring gol penting.

Biarpun mereka terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas 1-2 kepada Mexico, pemain itu sudah membuktikan bahawa masa depannya bersama Chelsea dan Brazil cerah.

Seperti mana-mana pemain Amerika Selatan, Oscar mula bermain dengan berkaki ayam di jalanan. Begitupun dengan bakat istimewa yang dimilikinya, dia sudah pun berdepan tekanan sejak kecil.

“Sejak saya kecil, semua orang di Americana menganggap saya akan menjadi pemain bola sepak profesional,” katanya.

“Saya bermula dengan bermain di jalanan seperti kebanyakan kanak-kanak Brazil. Di Americana, ada beberapa gelanggang atau padang kecil yang boleh kami gunakan. Bagaimanapun, sejak berusia lima atau enam tahun, kami bermain di jalanan selepas sekolah hampir setiap masa.

“Bapa saya pernah bermain bola sepak, biarpun bukan secara profesional dan apabila kebanyakan remaja bermain buat kali pertama di Brazil, bapa mereka akan turut bermain dengan rakan dan keluarga mereka, semuanya akan bermain.

“Sejak saya masih kecil, semua orang berkata saya mempunyai sesuatu yang istimewa dan boleh berjaya dalam bola sepak.

“Jelas sekali apabila bapa saya bermain bola sepak dan kebanyakan ahli keluarga saya meminati sukan ini, kami turut mengikut jejaknya. Ketika itulah sepupu saya yang lebih tua mula menyedari bahawa saya ada bakat dan kerana semua orang berkata perkara yang sama, saya mahu mencuba yang terbaik untuk mencapai kejayaan.”

Oscar mudah diterima dalam pasukan oleh Roberto di Matteo menerusi dua penampilan sebagai pemain gantian ketika menentang Wigan Athletic dan Reading sebelum diberikan ruang membuat penampilan penuh dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Juventus.

Dia menerimanya dengan tangan terbuka apabila menjaringkan kedua-dua gol Chelsea, termasuk pencabar awal untuk gol terbaik musim ini dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2.

Sejak bertahun lamanya, Brazil berjaya melahirkan pemain bola sepak yang mempunyai teknikal tinggi untuk menceriakan permainan termasuk pemain terhebat dunia, Pele.

Begitupun apabila ditanya mengenai ikon, bukan sesuatu yang mengejutkan bagi pemain sementah Oscar apabila memilih beberapa pemain moden.

“Paling penting bagi saya adalah Kaka kerana dia berasal dari Sao Paulo, tempat saya memulakan karier. Dia adalah idola terhebat bagi kami di sana,” katanya.

“Selain itu, Ronaldinho dan Ronaldo. Kedua-duanya adalah pemain terhebat sewaktu saya masih kecil dan mereka sudah bermain di Eropah bersama kelab ternama.

“Inilah pemain yang kami cuba contohi. Kami cuba lihat apa yang mereka lakukan di padang dan menirunya ketika bermain. Kini saya akan bekerja keras seperti yang dilakukan mereka di Eropah.” [sumber]

0 ulasan:

Catat Ulasan

Blogroll