Fyza Kadir Umpama Patung Cendana Sangat Indah Dipandang
Posted on Sunday, January 27, 2013 | 0 comments
Fyza Kadir
Dia ibarat patung cendana. Indah dipandang tetapi kelebihan itu belum mampu melonjakkan namanya namanya sebagai antara pendatang baru paling menyerlah.
Pembabitan Fyza Kadir, 27, dalam lakonan bermula pada Februari 2011 apabila menjadi artis MIG Talent, anak syarikat Metrowealth Pictures (MIG) yang banyak menerbitkan filem dan drama.
Sejak itu, Fyza diberi peluang berlakon dalam drama dan filem terbitan MIG. Bermula Senario Ops Pocot diikuti drama bersiri Hanalulu, Fyza juga berlakon Seram Sejuk, Nongkrong, PE-3 dan X. Namun auranya sebagai bintang baru belum nampak bersinar.
Adakah ini bermakna percaturan MIG menyuntingnya sebagai bakat baru bukan pilihan tepat? Malah, watak untuk Fyza juga kecil dan bukan pelakon utama.
Tatkala perkara itu dibangkitkan ketika anak jati Pulau Mutiara ini bertandang ke Balai Berita baru-baru ini, tiada riak terkilan terukir di wajahnya, sebaliknya senyuman kekal menguntum di bibir.
Mengambil beberapa saat berfikir sebelum melontarkan hujah, Fyza mengakui setakat ini belum ada pencapaian yang boleh dibanggakan, namun itu tidak bermakna usaha MIG sia-sia.
Katanya, mungkin rezekinya belum ada dan sebagai pendatang baru, dia akan berusaha mencari ruang selagi terdaya.
“Lebih setahun dalam dunia lakonan, saya sedar belum ada produk kukuh yang boleh dibanggakan. Tak mengapalah andai orang menganggap saya sekadar patung hiasan MIG. Sedikitpun saya tidak kecil hati.
“Terus-terang, saya bersyukur dengan peluang diberikan. Tak pernah terlintas di fikiran saya akan menjadi pelakon dan kini ia menjadi kenyataan.
“Apabila ditawarkan menjadi artis MIG dan berpeluang berlakon, pada mulanya saya teragak-agak. Maklumlah, saya tiada kelulusan dan pengalaman berlakon, tiba-tiba ditawarkan berlakon.
“Macam mimpi, namun bila melihat keyakinan produser David Teo, saya rasa dihargai dan beranikan diri,” katanya.
Bermula dengan watak kecil, Fyza akui gembira apabila diberi peluang dan berharap dari watak kecil, lama kelamaan apabila pengalaman makin bertambah, diberi kepercayaan bawa watak besar.
“Saya bermula dengan hanya satu babak dalam Senario Ops Pocot, kemudian beberapa filem lain. Apa pun, nantikan kemunculan saya yang lebih meyakinkan dalam filem 1 Lawan 1 dan Kisah Paling Gangster yang bakal ditayangkan di pawagam tahun ini.
“Tak mengapa lambat, asalkan ada peningkatan. Jujur, saya tidak terdesak mengejar watak utama atau besar kerana sedar kemampuan diri. Seperti saya katakan tadi, banyak yang perlu saya belajar kerana tiada asas lakonan.
“Jika awal pembabitan saya hanya menjayakan satu babak, kini saya dapat watak pembantu dan utama. Bagi saya, itu lebih baik berbanding terus jadi heroin kerana saya akan lebih memahami kerjaya ini.
“Lokasi penggambaran adalah guru saya. Di situ saya akan belajar dengan sesiapa saja yang sudi berkongsi ilmu, tidak kira dia pengarah, rakan artis mahupun kru,” katanya yang pernah dilabel hantu cantik selepas muncul dalam Seram Sejuk dan Nongkrong.
Walaupun kelibatnya di layar perak belum menyerlah, kehadiran Fyza tetap mencuri tumpuan. Wajah jelita dan ketinggiannya mencuri tumpuan.
Tambah pula Fyza sering dibawa menghadiri majlis hiburan hingga mengundang persepsi Fyza mahu meraih perhatian serta publisiti.
Mungkin juga itu strategi paling mudah pihak pengurusan untuk melonjakkan namanya. Kata Fyza, tiada istilah terpaksa kerana yakin apa dilakukan pihak pengurusannya betul.
“Mereka mahu perkenalkan saya kepada orang industri dan media. Tahun pertama adalah tahun saya bekerja dan belajar, tahun kedua pula saya kena tonjolkan diri.
“Tak adil jika kata saya tagih publisiti dan perhatian. Saya tak malu kerana sebagai orang baru, kenalah jumpa ramai orang dan kenalkan diri. Dengan cara ini, saya lebih yakin diri dan boleh menyesuaikan diri.
“Dalam masa sama, saya boleh nampak hakikat bahawa berada dalam bidang ini sangat mencabar. Ia menuntut kita kuat mental dan fizikal,” katanya yang tidak akan menerima tawaran menuntutnya tampil menarik atau babak ranjang demi menjaga maruah serta nama baik keluarga.
Read more: http://www.blogzaim.com/2013/01/fyza-kadir-umpama-patung-cendana-sangat.html#ixzz2JAUQ4l2B
0 ulasan:
Catat Ulasan