Dikuasakan oleh Blogger.

TIPS MUDAH MENCARI PASANGAN IDAMAN.



Assalamualaikum dan selamat pagi rabu semua,
semenjak dua menjak ini, kehidupan diserikan dengan pelbagai perkara, ada yang mencemaskan, ada yang menggembirakan dan pelbagai lagi, semuanya sudah menjadi lumrah kehidupan, yang menjadikannya indah untuk dilalui, seandainya kita sekadar berada dalam satu keadaan, pasti kita akan berasa bosan, perasaan berubah-ubah ini dipengaruhi banyak faktor, dari kehidupan di rumah, tempat kerja, berada di tempat umum, kekasih, suami isteri, layanan anak dan pelbagai lagi. Kita perlu bijak untuk mengawal perasaan tersebut agar tidak tercetus perkara-perkara yang tidak diingini.

Harini sekadar ingin berkongsi sedikit tips bagaimana untuk mendapatkan pasangan idaman, tips ini adalah daripada pembacaan, perbincangan, pemerhatian dan pengalaman hidup yang pernah aku lalui, seandainya anda rasa ianya bersesuaian dengan diri anda, dipersilakan untuk gunakannya dengan bijak, seandainya tidak bersesuaian, usahlah dipaksa diri untuk melakukannya, ini sekadar perkongsian kepada yang memerlukan.
Seringkali kita membaca, melihat, mendengar komen-komen yang membabitkan pemilihan pasangan idaman, yang lelaki ingin mencari calon isteri yang pandai memasak, manakala yang perempuan pula ingin mencari calon suami yang boleh menjadi imam, dan pelbagai lagi kriteria yang ingin dikecapi oleh pelbagai individu demi mencapai kehidupan impian. Sebenarnya memang tidak mustahil untuk kita capai semua itu, tetapi perlulah dengan cara yang betul, aku akan cuba menerangkan secara ringkas bagaimana kita boleh mencari pasangan idaman tersebut.
Agama
Seperti yang aku sebut sebentar tadi, ramai perempuan yang mencari pasangan yang boleh menjadi imam yang baik , manakala lelaki pula menjadi bakal isteri yang bertudung litup, dan pandai menjaga pergaulan. Seandainya benar kita ingin mencari pasangan yang sedemikian, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah untukmemperbaiki diri sendiri. Sudah dijanjikan kita akan memperolehi pasangan yang setaraf dengan kita, yang baik dengan yang baik, dan sebaliknya. Oleh sebab itu, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah dengan melengkapkan diri kita dengan ilmu dan amalan yang cukup, seandainya anda mengidamkan seorang suami pandai mengaji, bijak menghormati wanita, fasih dalam bidang agama, maka anda sendiri perlu melengkapkan diri anda dengan ilmu tersebut, sama juga dengan lelaki yang menginginkan perempuan yang bertudung litup, pandai menjaga pergaulan dan pertuturan, anda juga perlu melakukan perkara yang sama.
Sekiranya anda belum mencapai tahap apa yang anda inginkan pada pasangan anda, masih ada masa untuk berubah, perbaiki apa yang kurang, tambah pengetahuan, pergi belajar daripada guru-guru yang arif, dan pelbagai lagi. InsyaAllah, impian anda untuk mencari pasangan idaman itu akan tercapai.
Kehidupan
Selain aspek agama, aspek kehidupan juga sering dititik-beratkan, terutamanya bagi golongan lelaki, bakal isteri perlu pandai memasak, pandai melayan suami, pandai segala-galanya. Memang tidak salah untuk kita mencari bakal isteri yang mempunyai semua kemahiran ini, tetapi cuba kita tanya kembali, adakah kita sendiri mempunyai kemahiran tersebut? adakah kita pandai memasak, adakah kita pandai melayan seorang isteri dan segala-galanya tadi? Seandainya jawapan anda adalah Ya, maka tidak perlu risau, kerana seandainya bakal isteri anda tidak pandai memasak, pasti mudah untuk anda mendidik beliau untuk menjadi seorang yang pandai memasak. Segalanya bermula dari diri kita sendiri sebenarnya, walaupun kadangkala sukar untuk kita terima kenyataan ini, tetapi hakikatnya adalah begitu, jangan asyik menuding jari ke orang lain mencari kesalahan, kerana sambil kita menuding, memang kesalahan tersebut semua dilakukan oleh kita juga.
Lain-lain
Perkara terakhir yang paling penting, adalah untuk sanggup menerima kelemahan dan kelebihan pasangan kita. Kehidupan berpasangan adalah untuk saling melengkapi, jika ada kekurangan pada pasangan kita, kita pastikan kita boleh menutup kekurangan itu dengan kelebihan diri kita. Tiada manusia biasa yang sempurna dalam dunia ini, kenapa perlu menghukum sesama sendiri, sedangkan kita sendiri juga tidak sempurna. Apabila kita mulai sedar dan sanggup menerima pasangan kita seadanya, pasti kehidupan kita akan lebih bahagia, tidak timbul soal sebarang kekurangan, kerana antara dua saling melengkapi. Jika kita terlalu mencari kesempurnaan, tanpa memperbaiki diri sendiri, nescaya sampai ke sudah kita tidak akan berpuas hati dengan setiap calon yang kita temui.
Belajarlah untuk menerima, menerima seadanya, dan perbaiki apa yang tidak elok dalam penjalanan kehidupan bersama pasangan anda, dan teruskan apa yang telah sesuai, semoga kehidupan kita lebih cemerlang dan bahagia sentiasa. Pasangan yang boleh menerima kekurangan pasangannya akan lebih mesra kerana banyak perkara yang mereka lakukan bersama agar ianya berjalan lancar, tolak ansur dalam perhubungan adalah sangat penting untuk memastikan semuanya teratur.
Wallahualam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Blogroll